Jubah merupakan pakaian tradisional bagi masyarakat di Semenanjung Arab dan bahagian utara Afrika. Rekaan tradisional pakaian ini secara lazimnya adalah ringkas, bersaiz besar, berwarna hitam dan dengan rekaan berbentuk kotak besar atau kaftan panjang. Ianya menutupi keseluruhan tubuh badan si pemakai kecuali pada bahagian kepala, kaki dan tangan yang bersesuaian dengan wahyu berikut: –
Pakaian yang suatu ketika dahulu dianggap kolot dan hanya digayakan oleh warga emas atau sebahagian kecil golongan wanita yang berpegang teguh dengan syariat Islam kini telah mendapat nafas baru dengan kemunculan rekaan-rekaan yang terkini yang dikenali sebagai jubah moden.
Berikut adalah jenis-jenis fabrik yang digunakan dan tips-tips pemilihan jubah moden mengikut kesesuaian anda: –
1. Koshibo
Fabrik ini biasanya digunakan dalam penghasilan jubah kerana harganya yang rendah berbanding jenis fabrik yang lain. Ia merupakan fabrik tenunan yang diperbuat daripada serat poliester atau 100% poliester.
Terdapat dua jenis Koshibo yang biasa digunakan dalam penghasilan jubah moden iaitu: –
- Heavy Koshibo
Ciri-ciri fabrik ini adalah ianya lebih tebal, tidak jarang dan tidak panas berbanding peach Koshibo. Jika anda berada di kawasan bersuhu sederhana / dingin dan ingin menggayakan jubah yang berwarna terang, jubah heavy Koshibo adalah pilihan yang terbaik untuk anda.
- Peach Koshibo
Ciri-ciri fabrik ini adalah ianya lebih ringan, agak jarang dan lebih dingin berbanding heavy Koshibo. Jika anda berada di kawasan bersuhu panas, jubah peach Koshibo adalah lebih sesuai tetapi pemilihan warna yang gelap adalah perlu bagi mengelakkan jubah tampak jarang dan menampakkan tubuh badan anda.
2. Crepe
Fabrik ini dikatakan amat popular dan menjadi pilihan utama oleh kaum hawa di Malaysia. Ia biasanya diperbuat daripada kapas, bulu biri-biri, sutra, sutra buatan ataupun poliester.
Terdapat dua jenis Crepe yang biasa digunakan dalam penghasilan jubah moden iaitu: –
- Como / Poly Crepe
Fabrik ini menjadi pilihan ramai kerana sifatnya yang lembut dan mudah lentur di mana ianya penting untuk memudahkan si pemakai bergerak. Selain itu, tekstur kainnya tampak kasar dan tidak kelihatan bersinar seperti kain Koshibo.
Oleh kerana ciri Como / Poly Crepe yang agak berat, ia mampu menjadikan si pemakai tampak kurus dan bergaya. Ia juga sukar untuk berkedut di mana anda hanya perlu menyeterikanya secara ringkas dan mudah untuk dibasuh.
- Moss Crepe
Fabrik ini juga amat popular di kalangan peminat jubah moden tempatan di mana ia mempunyai banyak persamaan dengan Como / Poly Crepe. Bezanya adalah ia lebih lembut dan nipis walaupun tidak jarang sehingga mendedahkan aurat.
Oleh kerana ia lebih lembut, bagi mereka yang mempunyai fizikal yang besar mungkin berlaku sedikit lekapan pada si pemakai. Fabrik ini biasanya digunakan untuk penghasilan blouse, cardigan atau shawl.
3. Kain Kapas (Cotton)
Walaupun terdapat banyak fabrik baru yang digunakan dalam penghasilan jubah moden, kain kapas masih mendapat tempat di hati muslimah tanahair kerana faktor iklim tropika di Malaysia yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun.
Ciri-ciri kain kapas adalah seperti selesa, menyerap peluh, jarang mengakibatkan alahan kulit, penebat haba ketika cuaca sejuk dan tahan lasak menjadikannya sesuai untuk negara yang terletak di atas garisan Khatulistiwa.
Berikut adalah jenis-jenis rekaan jubah kain kapas: –
- Straight Cut
Stail ini tampak ringkas dan sesuai bagi citarasa mereka yang tidak menggemari jubah yang kembang. Potongan ini tidak terlalu longgar atau ketat seperti potongan slim fit yang menonjolkan tubuh badan si pemakai. Ia amat sesuai untuk golongan yang bertubuh langsing atau kecil.
- Color Block
Stail ini menggabungkan tiga jenis warna pastel yang biasanya terdiri daripada warna cerah. Ianya sesuai bagi golongan muda yang gemar untuk berfesyen atau kanak-kanak kerana ia lebih menonjol berbanding rekaan yang lain.
- Dua Warna
Stail ini menggabungkan 2 warna dengan jahitan pada bahagian tengah di mana ia merupakan evolusi awal kemunculan rekaan jubah moden.
- Satu Warna
Stail ini boleh dianggap sebagai rekaan tradisional tetapi masih popular di kalangan peminat fesyen tempatan yang memilih untuk menggayakan rekaan tampak kosong yang tidak terlalu menonjol.
Inilah beberapa tips pemilihan jubah moden yang sesuai untuk anda gayakan. Lepas ni tiada alasan lagi untuk tidak mencuba busana jenis ini. Sekian dari LANAFIRA dan semoga anda terus stylish.