Blouse merupakan baju wanita yang suatu ketika dahulu merupakan pakaian yang popular di kalangan masyarakat Eropah kini mendapat tempat di hati Muslimah terutamanya di rantau Asia Tenggara terutamanya di Malaysia dan Indonesia. Ia berikutan kemunculan rekaan terkini yang lebih sopan, anggun dan bergaya oleh para pereka fesyen tempatan di mana ianya sejajar dengan tuntutan agama Islam iaitu menutupi aurat.
Dari sudut sejarahnya, blouse berasal daripada perkataan Perancis yang membawa maksud “kod yang berdebu”. Tidak dapat dipastikan dari manakah asal-usul perkataan ini tetapi ia ini merupakan pakaian bagi pekerja, petani, seniman, wanita atau kanak-kanak yang rata-ratanya terdiri daripada golongan bawahan atau miskin.
Rekaan pakaian ini mulai mengalami perubahan dari segi rekaannya pada penghujung kurun ke-19 di mana sebelum itu ianya dianggap kolot. Sebelum kemunculan rekaan baju wanita Muslimah di Malaysia, blouse kebiasaanya menjadi pilihan wanita bukan beragama Islam yang menggayakannya apabila ke pejabat.
Walaubagaimanapun, rekaan tersebut tidak bersesuaian dengan wanita Muslimah kerana ianya berlengan pendek, menggunakan kain yang terlalu jarang dan rekaan di bahagian leher yang agak besar sehingga mendedahkan bahagian dada si pemakai.
Berikut adalah jenis-jenis fabrik yang digunakan dalam penghasilan baju wanita jenis blouse: –
Kain Rayon
Rayon adalah sejenis fabrik yang dikatakan mempunyai sifat keselesaan yang sama seperti bahan semulajadi walaupun sebenarnya ianya adalah serat selulosa yang dihasilkan semula dengan bantuan teknologi moden. Ia menyamai rasa dan tekstur sutera, bulu, kapas dan linen.
Fabrik ini digunakan untuk menghasilkan blouse bagi aktiviti santai dan riadah kerana ianya mudah dicelup dalam pelbagai warna dan corak yang menarik. Ciri-ciri kain rayon yang ringan dan sejuk adalah amat sesuai untuk negara yang mempunyai cuaca beriklim panas seperti di Malaysia.
Kain Kapas
Kain kapas sebagaimana yang kita sedia maklum diperbuat daripada serat kapas di mana ia amat popular dalam penghasilan pakaian untuk negara-negara yang beriklim panas.
Fabrik ini digunakan untuk menghasilkan blouse untuk aktiviti lasak seperti bersukan kerana ianya mudah untuk menyerap peluh, sejuk, tebal dan sesuai untuk sebarang jenis kulit terutamanya bagi mereka yang mempunyai kulit yang sensitif.
Jenis-jenis fabrik kapas yang biasa digunakan untuk menghasilkan baju wanita adalah Cotton, Poly-Cotton dan Cotton Velvet.
Sutera Buatan / Campuran
Sutera adalah serat protein semulajadi yang boleh ditenun menjadi pakaian. Sutera boleh dihasilkan melalui beberapa jenis serangga tetapi pada umumnya hanya sutera ulat rama-rama digunakan dalam industri tekstil.
Tujuan utama penggunaan sutera buatan / campuran dengan menggunakan teknologi moden adalah bagi mengurangkan kos kerana harga sutera asli adalah sangat tinggi dan tidak mampu dihasilkan dalam kuantiti yang banyak.
Fabrik ini digunakan untuk menghasilkan blouse untuk tujuan menghadiri majlis-majlis keraian kerana ciri-ciri fabrik sutera yang mempunyai tenunan yang halus, berkilau, lembut dan mampu menonjolkan sifat kewanitaan si pemakai.
Jenis-jenis fabrik sutera buatan / campuran yang biasa digunakan untuk menghasilkan baju wanita adalah Silk Jacquard, Silk Satin dan Printed Satin Silk.
Chiffon
Chiffon pada asalnya diperbuat daripada sutera. Walau bagaimanapun, pada pertengahan kurun ke-20, versi nilon chiffon dan poliester chiffon telah dicipta dan menjadi sangat popular kerana ketahanannya dan kos yang jauh lebih rendah berbanding penggunaan sutera.
Di bawah gelas kaca pembesar, fabrik chiffon menyerupai jaring atau jejaring halus yang memberikannya ketelusan. Untuk pakaian Muslimah, jenis chiffon yang digunakan adalah lebih tebal berbanding biasa bagi mengelakkannya tampak jarang dan mendedahkan aurat si pemakai.
Jenis-jenis fabrik chiffon yang biasa digunakan untuk menghasilkan baju wanita adalah Fully Lining Printed Chiffon, High Quality Chiffon dan Strechable Waffle Lycra and Chiffon.
Crepe
Di dalam artikel terdahulu (jubah moden), LANAFIRA pernah menyentuh secara mendalam mengenai fabrik crepe. Secara asasnya, ia diperbuat daripada serat kapas, bulu biri-biri, sutra, sutra buatan ataupun poliester.
Fabrik ini amat sesuai digunakan untuk menghasilkan blouse untuk aktiviti formal seperti ke pejabat, majlis rasmi, temu janji dan sebagainya kerana ianya lebih tebal, sukar untuk berkedut dan tidak berkilau. Selain itu, ia boleh digunakan untuk aktiviti sosial atau santai.
Jenis-jenis fabrik crepe yang biasa digunakan untuk menghasilkan baju wanita adalah Chanel Crepe, Bubble Crepe, Kelly Crepe, Lemon Crepe, Saura Crepe, Paloma Crepe, Kenzo Crepe dan Poly-Crepe.
Inilah serba-sedikit sejarah mengenai baju blouse, jenis fabrik dan beberapa tips-tips berguna buat para pembaca sekalian. Semoga ianya memberi manfaat dan seterusnya dapat membantu anda membuat pemilihan yang tepat. Sekian dari LANAFIRA dan semoga anda terus stylish.